Wednesday, January 14, 2009

Sejarah

Sekolah Kebangsaan Pusat Lawas pada asalnya dikenali dengan nama Sekolah Panduan Rakyat Dato Pengiran Haji Matusin. Nama ini diambil kerana tokoh ini banyak berbakti semasa pemerintahan Brooke.

Sekolah ini mula ditubuhkan pada tahun 1937. Ianya telah dibina berdekatan dengan sungai Lawas dan tidak jauh dari Pasar Lawas. Sekolah ini mula dibina bedindingkan papan dan beratapkan kayu belian. Bangunan sekolah ini hanya mempunyai satu bilik darjah sahaja. Bilangan murid ketika itu ialah seramai lebih kurang 36 orang dan hanya mempunyai seorang guru. Semasa pendudukan Jepun di daerah ini pada tahun 1941 hingga 1945, sekolah ini terus dibuka dan sistem pendidikan berkiblatkan sistem pendidikan Jepun.

Pada tahun 1957 sekolah ini berpindah ke tapak yang terletak di jalan menuju ke Hospital Lawas berdekatan dengan Balai Polis Lawas. Dalam tahun 1964, nama sekolah ini ditukar kepada Sekolah Rendah Kerajaan Pusat Lawas. Ketika itu ianya lebih dikenali dengan panggilan “Lawas Central School”. Pertukaran nama sekolah ini dibuat oleh pihak kaunsel (sebuah organisasi yang bertanggungjawab mengurus sekolah pada masa itu). Bahasa Penghantar yang digunakan di sekolah ini ialah Bahasa Inggeris.

Pada Ogos 1983, Persatuan Ibu Bapa Guru sekolah ini memohon untuk menukar nama Sekolah Rendah Kerajaan Pusat kepada SRK Dato Pengiran Haji Matusin tetapi ianya masih tergantung sehingga sekarang.

Memandangkan keadaan bangunan sekolah yang semakin sempit oleh kerana pertambahan murid, Jabatan Pendidikan telah berusaha untuk memindahkan sekolah ini ke tapak yang lebih baik dan strategik. Pada tahun 1979, sekolah ini telah bepindah ke tapak yang ada secara berperingkat-peringkat.

Bangunan sekolah lama masih lagi digunakan kerana bilik darjah bangunan baru tidak mencukupi untuk menampung jumlah murid yang ramai. Bangunan sekolah di tapak yang lama digunakan untuk murid-murid tahun 5 dan 6. Sekolah lama dikenali dengan nama Sekolah Rendah Kerajaan Pusat No. 1, manakala sekolah yang baru dikenali dengan nama Sekolah Rendah Kerajaan Pusat No. 2 tetapi di bawah seorang Guru Besar yang sama.

Apabila bangunan tambahan siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 1990, SRK Pusat No. 1 ditutup dan semua murid berpindah ke SRK Pusat Jalan Trusan di tapak yang ada sekarang ini. Pada masa ini SK Pusat Lawas mempunyai 34 orang guru termasuk seorang Guru Besar dan tiga Penolong Kanan dan 7 orang kakitangan bukan guru dan mempunyai seramai 558 orang murid.

No comments: