Monday, June 21, 2010
Pemansuhan UPSR dikaji
Menurut beliau, cadangan pemansuhan yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam adalah satu langkah yang positif untuk perkembangan pendidikan di negara ini, namun persetujuan semua pihak harus dipertimbangkan terlebih dulu.
“Kita akan mengumpul pandangan guru-guru dan ibu bapa terlebih dulu melalui sumber seperti akhbar dan media, dan pandangan mereka akan dibawa kepada Tan Sri Muhyiddin untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Alimuddin juga berpendapat, pendidikan negara selama ini terlalu berorientasikan peperiksaan dan perubahan perlu dibuat selaras dengan falsafah pendidikan negara yang mementingkan pembangunan modal insan.
Sementara itu, beliau berkata, kemasukan pelajar ke sekolah menengah yang dinilai melalui UPSR sebelum ini akan diteruskan dengan penilaian akhir tahun sekolah saja.
“Kemasukan pelajar ke sekolah menengah akan dinilai melalui peperiksaan penilaian berasaskan sekolah,” katanya. – Bernama
Tuesday, July 14, 2009
Isu PPSMI

KUALA LUMPUR 9 Julai - Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak mencukupi setakat di sekolah rendah dan menengah tetapi perlu sehingga ke universiti.
Pengerusi Gerakan Memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (GMP), Datuk Dr. Hassan Ahmad berkata, pemansuhan PPSMI hanya di peringkat sekolah rendah hingga tingkatan lima akan menimbulkan masalah kepada pelajar apabila memasuki tingkatan enam, matrikulasi atau universiti pada masa depan.
Katanya, ini kerana tiba-tiba sahaja mereka terpaksa beralih menggunakan bahasa Inggeris.
''Bagi GMP, memansuhkan PPSMI bererti memansuhkan semuanya iaitu kembali sepenuhnya kepada dasar pembelajaran sebelum 2003 ketika Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu dari tahun satu sampai tingkatan enam dan seterusnya ke universiti,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) di sini hari ini.
Turut hadir Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said selaku Penasihat GMP, Pengarah Eksekutif Yayasan Tamil Malaysia, C. M Elanttamial dan Naib Setiausaha Kanan Pusat Pembangunan Kebudayaan Bekas-Bekas Guru Cina Malaya (LLG), Goh Kean Seng.
Selain menuntut PPSMI dimansuhkan secara menyeluruh, Hassan berkata, GMP juga mahu agar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, Tamil dan Cina dimulakan pada tahun depan bagi murid-murid tahun satu.
''Kita mahu pelajar yang baru masuk sekolah diajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda masing-masing mulai 2010 bukannya 2012,'' katanya.
Hassan berkata, mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil bagi tahun satu tidak menimbulkan masalah kerana Kementerian Pelajaran boleh menyediakan bahan-bahan bacaan dan buku teks dalam ketiga-tiga bahasa ini mulai sekarang.
Katanya, kementerian juga boleh menggunakan semula buku-buku teks lama yang ditulis dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil untuk mata pelajaran Sains dan Matematik sebelum 2003.
Beliau berkata, walaupun tidak berpuas hati sepenuhnya terhadap keputusan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, GMP tetap berterima kasih kepada kerajaan kerana bersetuju memansuhkan PPSMI.
Mengulas mengenai kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kecewa dengan keputusan itu, Hassan berkata, ia hak peribadi bekas Perdana Menteri itu untuk berasa begitu.
Bagaimanapun, katanya, GMP tidak sependapat dengan Dr. Mahathir kerana lebih mementingkan suara rakyat.
''Pemansuhan PPSMI kami anggap sebagai kejayaan tuntutan rakyat semua kaum dan kerana itu GMP akan mengadakan sambutan pemansuhan PPSMI pada pukul 9 malam, 19 Julai ini bertempat di Stadium Bandar Baru Bangi,'' katanya.
Sementara itu, A. Samad berkata, beliau mewakili golongan sasterawan negara berasa lega dengan keputusan Menteri Pelajaran memansuhkan PPSMI.
''Lega. Itu kata-kata yang saya gunakan apabila Menteri Pelajaran mengumumkan pemansuhan PPSMI
''Ada beberapa perkara yang saya fikir membuat saya lega. Antaranya, saya tidak perlu berada di mana-mana tempat untuk memperjelaskan isu ini.
''Kedua, saya fikir apa yang telah diperjelaskan agak mencukupi untuk setakat ini walaupun sebenarnya masih timbul pertanyaan lain mengenai dasar ini,'' katanyaSUMBER: UTUSAN ONLINE
Thursday, June 18, 2009
Pelajar ponteng sekolah
JASIN 17 Jun – Sekumpulan 20 pelajar di dua buah sekolah menengah berhampiran Taman Merlimau Utara di sini, dikesan ponteng sekolah dengan menjadikan surau, rumah kosong dan kawasan ladang kelapa sawit sebagai lokasi melepak. Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jasin, Cif Inspektor Sa‘adon Sabirin berkata, pihaknya menerima maklumat awam berhubung kegiatan segelintir pelajar sekolah itu.
Menurut beliau, pelajar-pelajar terbabit didapati melakukan perbuatan itu secara berkumpulan dan menjadikan lokasi-lokasi itu sebagai tempat pertemuan mereka.
“Hasilnya, hari ini, kita berjaya mengesan lebih 20 pelajar sekolah menengah yang ponteng. Salah seorang daripada mereka ditahan.
“Daripada maklumat diperoleh, pelajar lelaki tingkatan dua yang ditahan itu mengakui terdapat lima hingga tujuh kumpulan pelajar seramai lebih 20 orang tidak hadir ke sekolah hari ini,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi membanteras ponteng sekolah di sini hari ini.
Operasi bermula pukul 9 pagi dan tamat pada pukul 12 tengah hari itu turut disertai Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Pejabat Pelajaran Daerah Jasin dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Sa‘adon menambah, pemeriksaan lanjut di dalam beg sekolah pelajar lelaki yang ditahan itu menemui sekotak rokok dan uniform sekolah.
“Pelajar terbabit mendakwa dia ponteng sekolah kerana gagal menyiapkan kerja diberikan guru dan terpengaruh dengan perbuatan rakan lain yang ponteng,” katanya.
Tambahnya, selain ponteng di ladang kelapa sawit, terdapat juga pelajar menjadikan surau dan rumah-rumah kosong di kawasan perumahan untuk ponteng sekolah.
Sehubungan itu, Sa‘adon meminta orang ramai supaya menghubungi pihak polis atau pihak sekolah sekiranya mengesyaki berlaku perbuatan ponteng sekolah di kawasan mereka.
Beliau pada masa sama menggesa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sekolah supaya lebih peka dan proaktif dalam menangani masalah tersebut.
“Semua pihak perlu terlibat bersama, tanpa mengharapkan bebanan masalah ini hanya ditanggung oleh pihak sekolah atau pihak berkuasa semata-mata,” katanya.
SUMBER: Utusan Malaysia Online (18/06/2009)Wednesday, June 17, 2009
2 Sekolah di Sarawak Menang Anugerah
PUTRAJAYA 17 Jun - Dua sekolah dari Sarawak iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai dan Sekolah Rendah Bakelalan dinobatkan sebagai pemenang bersama Anugerah Amalan Terbaik Pelajaran Komanwel 2009 sempena Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Komanwel Ke-17 (CCM-17).
SK Lubai dipilih berdasarkan pembabitan sepenuhnya masyarakat sekeliling dalam program pembangunan pendidikan sekolah berkenaan.
Sementara itu, pemilihan Sekolah Rendah Bakelalan pula kerana kegigihan masyarakat sekitar dalam memastikan mutu pendidikan walaupun berdepan dengan masalah kemudahan asas berikutan terletak jauh di pedalaman.
Kementerian Pendidikan dan Pembangunan Kemahiran Botswana pula diumumkan sebagai pemenang kedua anugerah itu.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Agung Komanwel, Ransford Smith pada satu majlis makan malam yang diadakan di sini malam semalam.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut menyampaikan Anugerah Khas yang dimenangi oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah; Kementerian Pendidikan, Kebudayaan dan Sumber Manusia Mauritius serta Idara-e-Taleem-o-Aagahi (ITA) Public Trust, Pakistan.
Anugerah lain adalah Anugerah Steve Sinnot yang dimenangi oleh British Council, United Kingdom.
SUMBER: Utusan Malaysia Online (16/06/2009)
Wednesday, May 27, 2009
Imbangi Nisbah Guru Lelaki dan Perempuan
KLANG 26 Mei - Kekurangan guru lelaki adalah antara cabaran paling besar dihadapi Kementerian Pelajaran dan kementerian kini dalam usaha untuk mengimbangkan jurang itu.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pada masa ini hampir tiga perempat daripada setiap pengambilan tahunan guru-guru baru terdiri daripada wanita.
"Kebanyakan guru yang mengajar di pedalaman ialah guru lelaki. Jadi sebab itulah kita cuba imbangkan sedikit untuk dapatkan lebih ramai guru lelaki bagi memudahkan kita menghantar guru mengajar di pedalaman," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Mesra Rakyat dan Sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Udang di sini, malam tadi.
Mohd. Puad turut mencadangkan supaya guru menandatangani akujanji bersetuju untuk mengajar di luar bandar dengan tempoh perkhidmatan mereka dinyatakan dengan jelas, umpamanya tiga tahun.
Beliau berkata, akujanji seumpama itu perlu bagi mengelakkan guru yang dihantar bertugas di luar bandar, memohon ditukarkan hanya selepas enam bulan mereka di sana.
Mohd. Puad berkata, selain itu ia juga bagi memastikan seseorang guru itu tidak berkhidmat terlalu lama di kawasan pedalaman.
"Saya sendiri menyaksikan kepayahan guru di pedalaman antaranya seorang guru wanita terpaksa memanjat pokok bagi mendapatkan gelombang telefon yang lebih baik untuk berhubung dengan suaminya.
"Ada juga kes seorang guru wanita dari sebuah sekolah di Marudi, Sarawak bersalin dalam bot ketika dalam perjalanan ke hospital kerana jarak antara sekolah dan hospital jauh," katanya. - BERNAMA
Sumber: Utusan Malaysia Online
Nota Kaki: Alhamdulillah, kami di SK Pusat Lawas tidak menghadapi sebarang masalah besar dari sudut komunikasi, jaringan perhubungan dan lokasi walaupun berada di sebuah daerah paling jauh di Sarawak =)
-
Here..The Arrival of Muhammad Akmal Faris bin Mohd Fairullizam bin Ag Abu Bakar :) Moga membesar sebagai anak soleh yang hensem mcm bapakny...
-
Adik Muhammad Afiq Ikmal dari SK Pusat Lawas! Alhamdulillah, kemenangan berpihak kepada SK Pusat Lawas apabila adik Muhammad Afiq Ikmal dium...
-
Selamat berjaya diucapkan kepada semua anak didik Tahun 6, SK Pusat Lawas.. Ketahui lah bahawa semua guru mengiringi kalian dengan doa dan r...